SINAR HARIAN - SELASA 29/11/2011
Mahasiswa jangan terpengaruh
Mahasiswa jangan terpengaruh
Tarikh : November 28, 2011
Pegawai Khas Kanan Ahli Parlimen Rompin, Mashruddin Jarkasi berkata, mahasiswa hendaklah berfikiran rasional dan melihat fakta secara menyeluruh apabila berdepan isu tertentu, supaya pemikiran tidak mudah dipesongkan oleh pihak tertentu yang berkepentingan.
“Setiap individu mempunyai pendapat berbeza, tetapi hendaklah menyatukan fikiran dalam isu tertentu yang membabitkan kepentingan bersama dan kesejahteraan negara.
“Kita tidak boleh dipengaruhi sentimen negatif hasil daripada hasu-tan pihak tertentu sehingga menyebabkan ada mahasiswa yang terikut-ikut dengan ideologi politik sesetengah pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pelajar Kolej Shah Putra, Kuantan bersama Majlis Belia Daerah Rompin, di Rompin Beach Resort, di sini.
Mashruddin berkata, pada umumnya taraf pendidikan akademik dan kemahiran teknikal merupakan elemen penting dalam kehidupan rakyat di sesebuah negara, termasuklah di Malaysia.
Menurutnya, kerajaan juga sentiasa memberi tumpuan utama dalam bidang pendidikan agar rakyat dapat menikmati peluang pembelajaran yang seimbang bagi merubah taraf kehidupan.
“Oleh itu, kerajaan sentiasa sedar dan sanggup membelanjakan wang berjuta ringgit untuk memastikan rakyat di negara ini memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi dengan sempurna.
“Tambahan pula pendidikan akademik juga merupakan syarat utama mendapatkan pekerjaan di sektor awam dan swasta di negara ini di samping penting bagi merubah kehidupan keluarga dan membantu mengembangkan kerjaya masa depan,” katanya.
Menurutnya lagi, ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang turut penting bagi mengangkat martabat diri, bangsa dan negara di samping membantu melahirkan pemimpin organisasi berkualiti, berintegriti dan berwibawa,” katanya.
SINAR HARIAN - JUMAAT 25/11/2011

No comments:
Post a Comment